30/08/1998 Persiapan menjelang Hari Merdeka M Thillinadan GEORGETOWN: Pulau Pinang yang membuat persiapan sejak setahun lalu, sudah bersedia menjadi tuan rumah sambutan perayaan Hari Kemerdekaan ke-41, esok. Negeri ini akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara dari dalam dan luar negara akan memeriahkan sambutan hari kebangsaan di hadapan Universiti Sains Malaysia (USM). Tetamu istimewa, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Jaafar dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Najihah, adalah yang pertama tiba di Pulau Pinang tengah hari semalam. Baginda berdua akan menyaksikan perarakan dan perayaan sambutan kemerdekaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan anggota Kabinet. Dr Mahathir dijangka tiba 4 petang ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan akan terus ke Jambatan Pulau Pinang untuk melepaskan EON Pandu Proton Merdeka. Beliau turut dijadualkan mengetuai konvoi 1,998 kereta Proton pelbagai model dari pondok tol di Butterworth ke Hotel Shangri-La, apabila undian cabutan bertuah peserta Pandu Proton Merdeka akan diadakan. EON menawarkan sebuah Proton Iswara Aeroback kepada pemenang bertuah dan hadiah lain bernilai RM20,000. Jambatan Pulau Pinang akan ditutup mulai jam 4 petang hingga 6 petang ini, bagi EON Pandu Proton Merdeka itu. Sebelah malam, semua jalan utama menghala ke Padang Kota Lama akan ditutup bagi Konsert Merdeka 1998, diikuti upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang oleh Dr Mahathir. Jalan yang ditutup ialah Lebuh Light, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Jalan Padang Kota Lama, Lebuh Beach dan Weld Quay. Tuanku Jaafar dan Tuanku Najihah juga akan berangkat ke santapan negeri di Hotel Equatorial, malam ini. (END) .
Details
-
File Typepdf
-
Upload Time-
-
Content LanguagesEnglish
-
Upload UserAnonymous/Not logged-in
-
File Pages1 Page
-
File Size-