Tragedi KRI Nanggala-402 di perairan : On Eternal Patrol |2

PENDAHULUAN

Pada awal pagi 21 April 2021, berita kehilangan kapal selam KRI Nanggala-402 milik Tentera Nasional – Angkatan Laut (TNI-AL – selepas ini Angkatan Laut Tentera Indonesia) tersebar ke seluruh pelosok rantau Asia Tenggara. Kapal selam jenis 209 diesel-elektrik itu dipercayai hilang kontak dalam lingkungan jam 3 hingga 4 pagi selepas ujian torpedo dilakukan. Angkatan Laut Tentera Indonesia kemudiannya menjalankan prosedur kehilangan kapal selam (submiss) selepas ia tidak muncul di Rajah 1: Kapal selam KRI Nanggala-402 permukaan pada petang hari yang sama (Sumber : CNN Indonesia) seperti yang dijadualkan.

Situasi semakin menggusarkan dengan penemuan tompokan minyak di lokasi terakhir kapal selam tersebut hilang kontak. Laksamana Pertama, Julius Widjojono menjelaskan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan kapal selam berkenaan mengalami blackout ditambah lagi dengan tekanan air dalam yang mungkin mengakibatkan kerosakan kepada kapal selam berkenaan. Malah, tempoh 72 jam sebelum kapal selam tersebut kehilangan oksigen menyebabkan langkah-langkah mencari dan menyelamat semakin kritikal dan kabur.

Beberapa hari kemudiannya, Ketua Angkatan Laut Tentera Indonesia, Laksamana Yudo Margono mengumumkan bahawa status kapal selam KRI Nanggala-402 telah berubah daripada kapal selam hilang (submiss) kepada kapal selam karam (subsunk) dengan kesemua 53 kru yang terlibat dipercayai telah terkorban. Penemuan serpihan KRI Nanggala-402 yang terpecah kepada tiga bahagian serta barangan yang lain milik kru menyokong pengumuman tersebut. Status 53 perajurit Angkatan Laut Tentera Indonesia itu kini dianggap “on eternal patrol” iaitu suatu bentuk istilah penghormatan kepada pejuang tentera laut yang pergi dan tidak lagi kembali ke pelabuhan.

Penulisan ini secara asasnya lebih menekankan bentuk deskriptif mengimbas semula operasi Search And Rescue (SAR) terhadap kehilangan kapal selam KRI Nanggala-402. Beberapa pengajaran daripada sorotan pandangan luar turut dimuatkan sebagai nilai tambah kepada penulisan ini sebagai jalan ke hadapan kepada negara-negara lain khususnya Malaysia sendiri. KAPAL SELAM KRI NANGGALA-402 & PERTAHANAN LAUT INDONESIA

Indonesia memiliki keseluruhan lima buah kapal selam dengan dua daripadanya adalah kelas Cakra iaitu KRI Cakra-401 dan KRI Nanggala-402, manakala tiga lagi daripada kelas Nagapasa iaitu KRI Nagapasa-403, KRI Ardadedali-404 serta KRI Alugoro-405 (Rujuk Jadual 1). Kapal selam KRI Nanggala-402 adalah sebuah kapal selam jenis 209 seberat 1,300 tan yang menggunakan sumber tenaga diesel elektrik. Kapal selam ini telah mencapai usia 44 tahun dan merupakan kapal selam penyerang yang dibina sekitar tahun 1978 oleh syarikat perkapalan Jerman Howaldtswerkw- Deutsche Werft (HDW) sebelum diserahkan kepada Angkatan Laut Tentera Indonesia pada tahun 1981. Kali terakhir kapal selam diperbaiki dan dinaiktaraf adalah pada tahun 2012 oleh syarikat milik Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME). KRI Cakra-401 lebih mirip dengan KRI Nanggala-402 kerana daripada kelas Cakra yang dibeli daripada syarikat HDW yang sama dengan KRI Nanggala-402. Malah, kapasiti kedua-dua kapal selam tersebut tidak jauh bezanya.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Tragedi KRI Nanggala-402 di perairan Bali: On Eternal Patrol |3

Selain itu, kapal selam kelas Nagapasa yang lain iaitu KRI Nagapasa-403 dan KRI Ardadedali-404 dibina oleh syarikat DSME daripada Korea Selatan. Pembelian tersebut berdasarkan kontrak bernilai USD 1.1 bilion di antara Menteri Pertahanan Indonesia dengan syarikat Korea Selatan tersebut yang ditemeterai pada tahun 2011 (Nuclear Threat Initiative, 2021). Satu lagi kapal selam jenis Nagapasa iaitu kapal selam KRI Alugoro-405 dibina oleh syarikat tempatan milik Indonesia iaitu Syarikat Perseroan Terbatas Penataran Angkatan Laut (PT-PAL) dan dijangka akan diserahkan kepada Angkata Laut Tentera Indonesia pada tahun ini.

Angkatan Laut Tentera Indonesia terus menunjukkan minat yang tinggi untuk memperkukuh kedaulatan perairannya dengan rancangan pembelian beberapa kapal selam lain antaranya daripada Russia dan Korea Selatan. Pada tahun 2019, Menteri Pertahanan Indonesia sekali lagi memeterai kontrak baru bernilai USD1.02 bilion dengan syarikat DSME melibatkan pembelian generasi kedua bagi tiga buah kapal selam kelas Nagapasa. Kesemua kapal selam jenis 209/1400 diesel-elektrik itu akan diterima menjelang tahun 2026 (The Diplomat, 2019). Secara umumnya, kapal selam yang dimiliki Indonesia, Malaysia dan beberapa negara di rantau tersebut menggunakan sumber tenaga daripada diesel-elektrik. Walaupun ia tidak secanggih kapal selam daripada sumber tenaga nuklear, namun penggunaan kapal selam diesel-elektrik ini masih kekal relevan dalam dunia pertempuran laut dalam.

Jadual 1: Senarai Kapal Selam Angkatan Laut Tentera Indonesia

Bil Kapal Selam Kelas Syarikat Pembinaan Negara

1 KRI Cakra-401 Cakra Howaldtswerkw-Deutsche Werft Jerman (HDW) 2 KRI Nanggala-402 Cakra

3 KRI Nagapasa-403 Nagapasa Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME) (Korea Korea Selatan 4 KRI Ardadedali-404 Nagapasa Selatan) Perseroan Terbatas Penataran 5 KRI Alugoro-405 Nagapasa Indonesia Angkatan Laut (PT-PAL) (Sumber : Nuclear Threat Initiative) OPERASI SAR KRI NANGGALA

Kapal selam KRI Nanggala-402 dikatakan telah kehilangan kontak selepas ujian torpedo dilaksanakan. Ia kemungkinan disebabkan oleh kerosakan pada sebahagian sistem kawalan yang menyebabkannya hilang kawalan dan terus tenggelam ke bahagian dasar laut (Chengappa, 2021). Oleh kerana badan kapal selam berkenaan tidak mampu untuk bertahan dengan tekanan pada dasar laut yang lebih dalam, akhirnya kapal selam telah ditemui terpecah kepada tiga bahagian dan ditemui pada kedalaman 838 meter.

Pelbagai pendapat muncul di sebalik kehilangan kapal selam KRI Nanggala-402. Penemuan tompokan minyak di perairan Bali pada hari yang sama ia dilaporkan hilang menggambarkan situasi getir yang sedang dihadapi kapal selam berkenaan ketika itu. Seorang pegawai kanan Angkatan Laut Tentera Indonesia tidak menolak kemungkinan KRI Nanggala-402 berhadapan dengan tekanan arus bawah laut yang kuat lalu menyukarkan kapal selam tersebut naik ke permukaan. Keesokan hari ia dilaporkan hilang, kapal KRI Raden Eddy Martadinata (REM)-331 pula mengesan objek bermagnet tinggi dengan kelajuan 2.5 knot, namun kemudiannya hilang daripada radar. Spekulasi terhadap tragedi besar yang bakal menimpa KRI Nanggala-402 semakin kuat kerana bekalan oksigen kapal berkenaan hanya mampu bertahan selama 72 jam atau selewat-lewatnya pada 24 April hari Sabtu pukul 3 pagi.

Situasi berada di lautan yang dalam tidak sama dengan kapal yang berlayar di atas permukaan air. Impak terhadap kerosakan yang kecil boleh membawa kepada kemudaratan yang jauh lebih besar (Chengappa, 2021). Oleh sebab itu, langkah keselamatan dan penyelamatan wajar dilakukan dengan

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Tragedi KRI Nanggala-402 di perairan Bali: On Eternal Patrol |4

kadar yang segera. Indonesia telah menggerakkan operasi SAR melibatkan 18 buah kapal tentera laut, 4 daripada pasukan polis Indonesia serta 3 daripada National Search and Rescue Agency (Basarnas). Antara kapal-kapal yang terlibat adalah KRI Rigel-933, KRI Raden Eddy Martadinata (REM)-331, KRI Gusti Ngurah Rai-332, KRI Diponegoro-365, KRI dr. Soeharso-990, KRI Pulau Rimau-724 dan sebuah helikopter seri Panther.

Selain itu, bagi meningkatkan keupayaan operasi SAR ini, Indonesia juga memohon bantuan daripada International Submarine Escape and Rescue Liaison Office (ISMERLO) selain mengadvokasi perjanjian kerjasama dengan Tentera Laut Singapura yang pernah ditandatangani pada tahun 2012 (Collin, 2021). Singapura menghantar kapal penyelamat MV Swift Rescue iaitu sebuah kapal Submarine Support and Rescue Vehicle (SSRV) yang dioperasikan oleh Tentera Laut Singapura (RSN) sendiri. Ia dilengkapi dengan Submarine Escape and Rescue (SMER) yang mempunyai Deep Search and Rescue Vehicle 6 (DSAR 6), kapsul Transfer Under Pressure (TUP) serta kenderaan tanpa pemandu (ROV) dengan integrasi teknologi navigasi dan sistem pengesanan bagi membantu operasi pencarian dengan visual yang lebih jelas di laut dalam.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menghantar sebuah kapal MV Mega Bakti iaitu kapal penyelamat yang beroperasi sejak tahun 2013. Kapal yang dibina Marine Technology Development ini telah memulakan pergerakan ke perairan Bali pada awal pagi 22 April 2021 bertolak daripada Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu dan telah sampai pada 25 April 2021. Usaha Carilamat TLDM melalui MV Mega Bakti ini mengoptimumkan Rajah 2: Kapal penyelamat TLDM, MV Mega Bakti penggunaan kenderaan Intervention (Sumber : Defense Security Asia) Remotely Operated Vehicles (IROV) yang boleh beroperasi sehingga kedalaman 650 meter. Pengoperasian IROV bagaimanapun lebih tertumpu kepada mendapatkan bukti tambahan kepada serpihan kapal yang dijumpai. Selain Malaysia dan Singapura, Australia dan Amerika Syarikat turut menggerakkan aset masing-masing bagi membantu operasi SAR tersebut. Australia menggerakkan aset kapalnya iaitu HMAS Ballarat, manakala Amerika Syarikat pula menghantar pesawat P-8 Poseidon.

Akhirnya, pada hari Ahad, 25 April 2021, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), mengumumkan bahawa kesemua 53 orang kru kapal selam KRI Nanggala-402 disahkan telah gugur dan statusnya berubah kepada subsunk (kapal selam yang tenggelam). Ini berikut penemuan tiga bahagian badan KRI Nanggala-402 pada kedalaman 838 meter oleh kapal KRI Rigel-933 milik Indonesia. Kapal jenis Multipurpose Research Vessel (MPRV) tersebut menggunakan teknologi multibeam echo sounder bagi mengesan koordinasi kapal selam dengan lebih tepat. Alatan ROV yang diturunkan daripada kapal MV Swift Rescue pula digerakkan pada kedalaman tersebut bagi mendapatkan visual yang jelas terhadap kapal selam berkenaan.

Penemuan kapal selam tersebut menamatkan pelbagai spekulasi yang timbul. Ternyata tragedi ini merupakan suatu kehilangan yang besar buat warga ketenteraan laut Indonesia khususnya. Presiden Indonesia, sendiri telah menzahirkan rasa dukacita beliau terhadap tragedi tersebut sambil menyifatkan kesemua kru KRI Nanggala-402 sebagai “patriot terbaik” yang dimiliki oleh Indonesia (Berita Harian, 2021). Para pemimpin daripada negara serantau dan luar turut menyampaikan ucapan takziah kepada Indonesia di atas tragedi yang menimpa.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Tragedi KRI Nanggala-402 di perairan Bali: On Eternal Patrol |5

Ketika ini, proses evakuasi kapal selam tersebut sedang dalam rancangan Angkatan Tentera Laut Indonesia. Angkatan Laut China People Liberation Army (PLA Navy) telah menawarkan bantuan bagi membantu proses evakuasi pada awal Mei yang lalu. Tiga kapal penyelamat yang digerakkan pihak PLA Navy adalah Ocean Salvage and Rescue Yongxingdao-863, Ocean Tug Nantuo-185, dan kapal ketiga adalah Scientific Salvage Tan Suo 2. Kesemua kapal-kapal penyelamat ini mempunyai daya selam sehingga kedalaman 4,500 meter ke dalam dasar laut (National Tempo, 2021). LESSON-LEARNED: JALAN KE HADAPAN

Tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala-402 pada penghujung April 2021 yang lalu sememangnya membuka mata banyak pihak khususnya mengenai ketersediaan aset-aset ketenteraan negara khususnya terhadap keupayaan menyelamat di laut dalam. Perkara paling genting dalam operasi SAR kapal selam ini adalah terletak kepada faktor masa. Pergerakan kapal- kapal bantuan penyelamat sememangnya memakan masa dan tidak dapat dielakkan serta dalam masa yang sama, kapal selam KRI Nanggala-402 tersebut pula berhadapan dengan situasi kehabisan oksigen dalam tempoh 72 jam (Collin, 2021). Malah, Indonesia sendiri telah mengoptimumkan kira-kira dua puluh kapal-kapalnya bagi proses bantuan pengesanan dan pencarian awal.

Kesiapsiagaan aset merupakan aspek yang penting dalam ketenteraan. Ini kerana cabaran di medan tempur sama ada di darat mahupun di lautan tidak sesekali dapat diduga. Penglibatan TLDM dengan menggerak atur asetnya iaitu kapal penyelamat MV Mega Bakti dalam masa yang singkat menunjukkan bahawa aset- aset negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi apa jua cabaran di perairan negara (Izyan Munirah Zaideen, 2021). Tambahan lagi, kesiapsiagaan kapal selam negara Rajah 3: Kapal selam kelas Scorpene milik TLDM khususnya daripada aspek penyelenggaraan (Sumber: Google) dan operasi selain kitaran hidup (life cycle) sangat mustahak bagi menentukan jangka hayat operasinya (Collin, 2021).

Walau bagaimanapun, aspek kesiapsiagaan juga perlu diteliti bersama-sama aspek keupayaan aset semasa negara. Meskipun MV Mega Bakti dilengkapi dengan fungsi utamanya sebagai submarine escape and rescue-intervention, kemampuan ROV kapal berkenaan hanya terhad pada kedalaman sekitar 400-600 meter sahaja dan menyukarkan operasi menyelamat di laut dalam yang lebih kompleks. Maka, wajar bagi Malaysia untuk meneliti kesemua aspek kesiapsiagaan dan keupanyaan aset-asetnya bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin (Izyan Munirah Zaideen, 2021).

Jadual 2 : Kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia

Bil Kapal Selam Kelas Syarikat Pembinaan Negara Pembuat

1 KD Tunku Abdul Rahman Scorpene DCNS, Navantia Perancis, Sepanyol 2 KD Tun Abdul Razak (Sumber: Nuclear Threat Initiative)

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Tragedi KRI Nanggala-402 di perairan Bali: On Eternal Patrol |6

Malaysia ketika ini memiliki dua buah kapal selam kelas Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang berpengkalan di Sepanggar, Sabah (Rujuk Jadual 2). Meskipun kedua- dua kapal selam Scorpene ini sentiasa menjadi bahan jenaka sesetengah ahli politik di negara ini, ia sesekali tidak dapat menafikan kepentingan Malaysia untuk memiliki kedua-dua “silent service” yang strategik ini. Kedua-dua kapal selam ini masih merupakan aset strategik kepada negara dalam menjalankan tugasnya di lautan dalam. Apatah lagi Malaysia juga merupakan sebuah negara maritim, sama seperti negara-negara sekitarnya iaitu Indonesia dan Singapura yang masing-masing turut mempunyai aset kapal selam. Tambahan lagi, berdasarkan pelan Transformasi 15-to-5 yang direncana pihak Kementerian Pertahanan suatu ketika dahulu, Malaysia merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya 4 buah kapal selam menjelang tahun 2050. Namun, faktor kewangan masih menjadi penghalang utama untuk ia direalisasikan (Wey, 2019).

Selain itu, pengajaran lain yang diperolehi daripada tragedi ini juga adalah tindakan pantas Angkatan Tentera Laut Indonesia dalam misi pencarian dan menyelamat kapal selam yang hilang. Selain menggerakkan aset-aset tempatan seperti KRI Rigel-933 yang canggih, Indonesia juga telah memohon bantuan antarabangsa melalui ISMERLO untuk menggerakkan kapal penyelamat milik Tentera Laut Singapura iaitu MV Swift Rescue ke perairan Bali. Malaysia dan Australia turut menghantar kapal bantuan ke lokasi berkenaan. Situasi ini jelas berbeza dengan tragedi kapal selam milik Rusia, The Kursk yang berlaku pada tahun 2000 dan telah mengorbankan 118 orang kru. Kerajaan Rusia ketika itu menolak bantuan daripada Britain dan Norway selepas 5 hari tragedi berkenaan berlaku. Penyelam Norway hanya dibenarkan untuk masuk selepas tujuh hari insiden tersebut berlaku dengan ketika itu tiada lagi yang terselamat (The Moscow Times, 2019).

Daripada satu aspek, tindakan proaktif Angkatan Laut Tentera Indonesia yang segera melaksanakan operasi SAR merupakan tindakan yang wajar dipuji walaupun akhirnya ia tidak dapat menyelamatkan kapal selam berkenaan. Faktor masa dan jarak sebenarnya perlu diambil kira bagi bantuan-bantuan tersebut sampai ke lokasi tragedi malang tersebut. PENUTUP

Tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala-402 sememangnya akan sentiasa terpahat di hati rakyat Indonesia. Tiada siapa menyangka bahawa awal pagi Rabu tersebut adalah kontak terakhir kapal dan kru terbabit. Penemuan kapal selam yang telah terpecah serta barangan milik kru menyimpulkan segala-galanya. Fasa ini lebih tertumpu kepada fasa mengevakuasi kapal selam berkenaan dengan Angkatan Laut daripada Tanah Besar yang menawarkan pertolongan. Namun, disebalik kesusahan pasti ada kesenangan. Ia memperlihatkan kerjasama serantau yang kukuh dengan penglibatan Singapura, Malaysia serta Australia dalam operasi SAR yang getir. Ternyata kerjasama yang berlaku dalam menjaga perairan ini akan mengukuhkan kestabilan di rantau Asia Pasifik amnya. Tambahan lagi, ketersediaan, kesiapsiagaan serta keupayaan aset-aset strategik negara juga perlu diberi perhatian. Pelbagai pelan Transformasi 15-to-5 serta Kertas Putih Pertahanan yang pernah dibentangkan sewajarnya menyediakan suatu navigasi yang jelas terhadap masa depan aset pertahahan negara.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Tragedi KRI Nanggala-402 di perairan Bali: On Eternal Patrol |7

SENARAI RUJUKAN

Berita Harian. (25 April, 2021). Jokowi ucap takziah kepada keluarga kru kapal selam. Retrieved from bharian.com: https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/04/810647/jokowi-ucap-takziah- kepada-keluarga-kru-kapal-selam

Berita Harian. (21 April, 2021). KRI Nanggala pernah dinaik taraf di Jerman, Korea Selatan. Retrieved from bharian.com: https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/04/809358/kri-nanggala- pernah-dinaik-taraf-di-jerman-korea-selatan

Chengappa, B. (4 Mei , 2021). Indonesian submarine tragedy: What happened and how. Retrieved from The Federal: https://thefederal.com/explainers-2/indonesian-submarine/

Collin, K. S. (27 April, 2021). Indonesia submarine tragedy exposes painful realities of international rescue operations. Retrieved from The Channel News Asia: https://www.channelnewsasia.com/news/commentary/indonesia-submarine-tragedy-missing- kri-nanggala-14697638

Izyan Munirah Zaideen. (29 April, 2021). Tragedi KRI Nanggala 402 jadi iktibar TLDM perkemas aset. Retrieved from bharian.com: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/04/811929/tragedi-kri-nanggala-402- jadi-iktibar-tldm-perkemas-aset

National Tempo. (2 Mei, 2021). Evakuasi KRI Nanggala-402, AL Cina akan Kirim 3 Kapal Salvage. Retrieved from national.tempo.co: https://nasional.tempo.co/read/1458427/evakuasi-kri- nanggala-402-al-cina-akan-kirim-3-kapal-salvage/full&view=ok

Nuclear Threat Initiative. (27 April, 2021). Indonesia Submarine Capabilities. Retrieved from Nuclear Threat Initiative (NTI): https://www.nti.org/analysis/articles/indonesia-submarine-capabilities/

Shahmil Hafiz. (25 Julai , 2018). Bagaimana Sebuah Kapal Selam Berfungsi? Retrieved from The Patriots Asia: https://www.thepatriots.asia/bagaimana-sebuah-kapal-selam-berfungsi/ sinarplus. (24 April, 2021). Kronologi Kehilangan Kapal Selam KRI Nanggala 402 Milik Indonesia. Serpihan, Objek Ditemui Sahkan Ia Karam. Retrieved from sinarharian.com: https://sinarplus.sinarharian.com.my/dunia/kronologi-kehilangan-kapal-selam-kri-nanggala- 402-milik-indonesia-lebih-72-jam-masih-belum-ditemui/

Tekno Tempo. (30 April , 2021). Mungkin Tenggelamkan KRI Nanggala-402, Ini Fakta-fakta Gelombang Bawah Laut. Retrieved from tekno.tempo.co: https://tekno.tempo.co/read/1458099/mungkin-tenggelamkan-kri-nanggala-402-ini-fakta-fakta- gelombang-bawah-laut/full&view=ok

The Diplomat. (15 April , 2019). Indonesia, Ink $1 Billion Contract for 3 Diesel-Electric Submarines. Retrieved from The Diplomat: https://thediplomat.com/2019/04/indonesia-south- korea-ink-1-billion-contract-for-3-diesel-electric-submarines/

The Moscow Times. (12 Ogos, 2019). The Kursk Submarine Disaster. Retrieved from The Moscow Times: https://www.themoscowtimes.com/2019/08/12/otd-kursk-aug-12-a66818

Utusan Malaysia. (27 April , 2021). Kapal TLDM bantu cari bahan bukti tambahan KRI Nanggala 402. Retrieved from utusan.com: https://www.utusan.com.my/nasional/2021/04/kapal-tldm-bantu- cari-bahan-bukti-tambahan-kri-nanggala- 402/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=kapal-tldm-bantu-cari-bahan-bukti- tambahan-kri-nanggala-402

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Tragedi KRI Nanggala-402 di perairan Bali: On Eternal Patrol |8

Wey, A. L. (6 Julai, 2019). What Can Malaysia Do With 2 Submarines? Retrieved from The Diplomat: https://thediplomat.com/2019/07/what-can-malaysia-do-with-2-submarines/

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)