SEBUAH LAGI PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS DIWUJUDKAN DI

MARAN, 27 OKTOBER 2020: Sebuah lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) akan diwujudkan di daerah ini berikutan permintaan masyarakat setempat yang semakin meningkat serta keperluan lebih ramai warga emas yang memerlukan.

Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Cawangan , Tuan Haji Mohd Zahidi Haji Hussain berkata, setakat ini hanya satu PAWE beroperasi di Indera Mahkota.

"Kami menerima maklum balas mengenai keperluan sebuah lagi PAWE bagi warga emas di sekitar Kuantan. Setakat ini, pihak kami telah mendapat sebuah bangunan milik Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran (JKKK) Kampung Tanah Putih yang diberi oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk dijadikan PAWE.

"Bangunan tersebut perlu diperbaiki dan pihak kami sedang menunggu peruntukan yang telah diluluskan Jabatan Kebajikan (JKM) sebanyak RM100,000 untuk baik pulih dan memberi peralatan kesihatan bagi aktiviti warga emas," katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media (UKOMP) Pahang.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Cawangan Pahang Kali ke-61 Tahun 2020 di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.

Hadir merasmikan majlis berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Sementara itu, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza yang ditemui berkata, Kerajaan Pahang sentiasa menyokong dan membantu apa yang perlu terutamanya melibatkan rakyat yang memerlukan.

"Pusat ini beroperasi di bawah Kerajaan Pusat namun sebagai wakil rakyat di negeri Pahang sudah pasti sentiasa mengambil tahu mengenai keadaan rakyat di negeri ini.

"Sejak dulu lagi, sekiranya ada rakyat yang betul-betul memerlukan bantuan (walaupun sudah menerima bantuan JKM), kita pasti beri perhatian.

"Sebagai contoh ialah bantuan one-off bagi pesakit kronik yang sentiasa dibantu Kerajaan Pahang melalui wakil rakyat di kawasan masing-masing," katanya. - PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #UKOMP

Oleh: Fairus Mohd

(LIPUTAN BERGAMBAR)