KERAJAN MINTA BUKA SEMULA OPERASI TAMAN NEGARA

KUANTAN, 22 OKTOBER 2020: Kerajaan Pahang meminta Kerajaan Pusat khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membuka segera operasi Taman Negara di kedua-dua laluan masuk iaitu di , dan , Lipis.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penutupannya baru-baru ini akibat penularan semula wabak pandemik COVID-19 adalah tidak diperlukan memandangkan Taman Negara seperti mana juga daerah- daerah Jerantut dan Lipis serta negeri Pahang keseluruhannya, tidak berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Justeru akibat arahan penutupan tersebut, Kerajaan Pahang menerima rungutan daripada pengusaha-pengusaha aktiviti eko-pelancongan di sana tentang kehilangan punca pendapatan mereka.

"Mereka terdiri daripada antara lain, 170 pemandu pelancong, 78 pengusaha bot di Sungai Tahan, 30 pengusaha bot di Sungai Tembeling, 17 agensi pelancongan dan 38 pengusaha penginapan.

"Ini tidak termasuk pengusaha sokongan lain seperti pengusaha penyajian makanan, pembekal dan peruncit, yang bergantung harap kepada bidang eko-pelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, susulan itu, perkara sama turut dibincangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi semalam dan memutuskan Kerajaan Pahang meminta Kerajaan Pusat membatalkan segera arahan penutupan tersebut.

"Dengan pembukaan semula Taman Negara, Kerajaan Pahang meminta agar para pengusaha serta pengunjung, terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapkan," katanya. – PAHANGMEDIA

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #UKOMP

(LIPUTAN BERGAMBAR)