Bil. 11 Isnin 6 Ogos 2018

M A L A Y S I A

PENYATA RASMI PARLIMEN Parliamentary Debates

KAMAR KHAS Special Chamber

PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT PERTAMA

KANDUNGAN

UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN [P.M.17]: o Pembaikan Tebing Parit Tanah di Taman Wah Keong, Ipoh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran - YB. Tuan (Ipoh Timur ) [Halaman 1] o Masalah Isu Kanak-kanak Tanpa Kerakyatan - YB. Tuan Chan Foong Hin () [Halaman 2]

KKDR. 6.8.2018 1

MALAYSIA KAMAR KHAS PARLIMEN KEEMPAT BELAS PENGGAL PERTAMA MESYUARAT PERTAMA Isnin, 06 Ogos 2018 Mesyuarat dimulakan pada pukul 2.30 petang DOA [Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

UCAPAN DI BAWAH USUL BERKENAAN PERKARA TADBIR KERAJAAN (P.M. 17)

Pembaikan Tebing Parit Tanah di Taman Wah Keong, Ipoh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran

2.34 ptg. Tuan Wong Kah Woh [Ipoh Timur]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin membangkitkan isu berkenaan dengan pembaikan tebing parit tanah berhampiran Taman Wah Keong, Ipoh, iaitu di belakang rumah-rumah No. 14 dan 16, Lengkok Wah Keong, Taman Wah Keong, 31400 Ipoh, Perak. Rumah-rumah di No. 14 dan 16, Lengkok Wah Keong tersebut telah dibina lebih kurang 28 tahun dahulu. Terdapat satu saliran terletak di belakang rumah- rumah tersebut yang sejak tahun-tahun kebelakangan ini telah menghakis tebing parit tanah yang bersambungan dengan rumah-rumah tersebut. Perkara ini amatlah serius yang mana sebahagian konkrit tebing parit tanah telah runtuh dan kesan-kesan keretakan telah didapati di bahagian bahu jalan kawasan hadapan rumah-rumah. Sekiranya pembaikan tebing parit tidak dilaksanakan dengan segera, kejadian yang tidak diinginkan mungkin berlaku. Saya telah membawa perkara ini ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak pada tahun 2017, dalam kapasiti saya selaku wakil rakyat DUN Canning pada ketika itu. Jurutera JPS telah membuat lawatan ke tapak tersebut dan menyatakan bahawa kerja- kerja pembaikan tebing parit akan dilaksanakan pada tahun 2018 setelah bajet tahun 2018 disalurkan. Namun, melalui suatu surat bertarikh 05 Jun 2018 kepada ADUN Canning sekarang, pihak JPS telah menyatakan bahawa parit tanah tersebut adalah di luar daripada selenggaraan JPS. Balasan ini diberikan setelah lebih daripada sembilan bulan aduan diajukan dan setelah pihak JPS memberikan komitmen untuk melaksanakan projek KKDR. 6.8.2018 2

pembaikan ini pada tahun 2018. Apa yang akan terjadi ke atas keyakinan rakyat terhadap pentadbiran baharu di bawah satu kerajaan baharu ini? Rakyat sekarang menaruh satu harapan yang besar. Apabila kita mengendalikan aduan-aduan yang diajukan oleh rakyat kepada kita, kesemua jabatan kerajaan termasuk kita selaku wakil rakyat, harus mengetepikan sikap yang mana akan dianggap sebagai penolakan masalah ataupun aduan rakyat. Oleh yang demikian, saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Menteri untuk dua perkara spesifik: (i) pengesahan bahawa masalah ini adalah di bawah selenggaraan JPS; dan (ii) sama ada JPS bersedia untuk menunaikan komitmennya untuk melaksanakan kerja- kerja pembaikan parit tebing tersebut pada tahun 2018 dengan kos yang dianggarkan sebanyak RM120,000 seperti yang dinyatakan oleh JPS sebelum ini. Sekian daripada saya, terima kasih.

2.36 ptg. Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli [Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji]: Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timur. Tuan Yang di-Pertua, Majlis Sumber Air Negara (MSAN) Kelima pada tahun 2009 telah bersetuju bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah agensi yang bertanggungjawab dalam penyelenggaraan sistem perparitan. Pembahagian tugas antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT adalah seperti yang digariskan dalam keputusan Jemaah Menteri No. 413/2026/96. Merujuk kepada soalan ini Tuan Yang di-Pertua, ia hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa negeri melalui PBT kerana ia di luar bidang kuasa kementerian. Terima kasih.

Masalah Isu Kanak-kanak Tanpa Kerakyatan

2.37 ptg. Tuan Chan Foong Hin [Kota Kinabalu]: Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. So, tajuk ucapan saya adalah, “Masalah Isu Kanak-kanak Tanpa Kerakyatan”. Tuan Yang di-Pertua, saya menerima banyak kes rayuan kanak-kanak tanpa kerakyatan. Sering kali birokrasi kerajaan terhadap permohonan status kewarganegaraan anak-anak ini dikatakan telah menyebabkan banyak kes permohonan tertangguh dan gagal. Kesannya, anak-anak tersebut menghadapi KKDR. 6.8.2018 3

kesukaran untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan hak yang saksama seperti warganegara walaupun telah menetap di negara ini sejak dilahirkan. Berdasarkan statistik Kementerian Dalam Negeri antara tahun 2012 hingga 2017, terdapat 15,394 kanak-kanak yang dilahirkan di gagal mendapatkan status kerakyatan meskipun bapa mereka memiliki status sah sebagai warganegara. Antara punca utama yang dikenal pasti menyumbang kepada masalah ini ialah lewat daftar kelahiran, ditinggalkan semasa lahir, gagal menjejaki ibu bapa dan ibu atau bapa yang memegang kerakyatan asing yang gagal mendaftar perkahwinan. Anak-anak ini tidak boleh mendaftar masuk ke sekolah jika gagal mengemukakan pasport yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen pada Disember tahun 2016. Bukan itu sahaja, anak-anak ini juga nanti tidak layak untuk memohon pasport dan lesen memandu. Mereka tidak boleh dimangsakan akibat kecuaian dan kesalahan ibu bapa. Jika kerajaan boleh beri kerakyatan kepada orang asing, mengapa tidak anak-anak yang lahir dan membesar di negara ini? Saya juga minta penjelasan berkaitan dengan wujudnya sebarang peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan perkahwinan ibu dan bapa kepada anak itu perlu didaftarkan supaya anak mereka mendapat status kewarganegaraan. Saya minta kerajaan baharu harus mengkaji pendekatan yang lebih cekap serta berperikemanusiaan dalam pemprosesan permohonan kewarganegaraan. Sekian, terima kasih.

2.39 ptg. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar [Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis @ Fakharudy]: Tuan Yang di-Pertua, saya mewakilkan Yang Berhormat Sepanggar, Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk pertanyaan ini. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kota Kinabalu. ■1440 Penentuan taraf kewarganegaraan seseorang individu adalah berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa sewaktu kelahiran berlaku. Seksyen 17 Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan dengan jelas bahawa kewarganegaraan individu yang dilahirkan sebelum perkahwinan ibu bapa mereka didaftarkan secara sah mengikut perundangan negara ini, anak tidak sah taraf adalah mengikut kewarganegaraan ibunya. Justeru, anak tidak sah taraf yang dilahirkan oleh wanita warga asing akan direkodkan sebagai bukan warganegara, walaupun bapa biologinya adalah warganegara Malaysia. KKDR. 6.8.2018 4

Ibu bapa atau penjaga anak tidak sah taraf bukan warganegara tersebut, bertanggungjawab untuk menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal ibunya. Kegagalan ibu, bapa atau penjaga melaksanakan tanggungjawab mereka akan menyebabkan isu berbangkit seperti ketiadaan dokumen pengenalan diri dari negara asal yang akhirnya menyebabkan keberadaan yang tidak sah di negara ini. Seterusnya, mereka juga disalah anggap sebagai stateless dengan izin, di Malaysia. Berhubung dengan kewarganegaraan yang dihadapi oleh individu yang ditinggalkan semenjak lahir atau ibu bapa tidak dapat dijejaki, permohonan kewarganegaraan secara pendaftaran boleh dikemukakan di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan iaitu satu peruntukan khas untuk mendaftarkan individu berumur 21 tahun ke bawah. Kementerian ini menegaskan bahawa taraf kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan dengan sewenang-wenangnya. Sehubungan dengan itu, pertimbangan dibuat secara case by case dengan izin, mengikut giliran dengan sewajarnya. Permohonan mestilah memenuhi kelayakan yang ditetapkan oleh Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan, pendaftaran kelahiran, pengangkatan yang sah serta lain-lain perundangan berkuat kuasa. Dalam hal ini, beban untuk membuktikan kelayakan tersebut adalah di bawah tanggungjawab pemohon jua. Pematuhan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang adalah amat penting bagi memastikan kewarganegaraan dianugerahkan kepada individu yang berkelayakan, berkualiti, dapat memberikan sumbangan signifikan kepada negara serta menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tanpa mengabaikan kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada. Bagi memastikan tiada isu berbangkit di masa hadapan serta membentuk masyarakat yang bermoral dan patuh kepada perundangan yang berkuat kuasa, Ahli Yang Berhormat diseru untuk menyebarluaskan pengetahuan berkaitan kepentingan mendaftarkan perkahwinan serta keperluan untuk mendaftarkan kelahiran di kedutaan bagi anak tidak sah taraf kepada wanita warga asing. Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kamar Khas hari ini ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang hari Selasa, 7 Ogos 2018.

[Kamar Khas ditangguhkan pada pukul 2.43 petang]